Halaman

Rabu, 16 Mac 2011

Sepintas Lalu Sekolah Halamanku..SKBR

SEKOLAH KEBANGSAAN BUNGA RAYA, KENINGAU, SABAH..
Sepintas Lalu

Nama Sekolah Kebangsaan Bunga Raya (SKBR), diambil sempena dengan nama tempat ini yang pada mulanya hanya sebuah kampung iaitu Kampung Bunga Raya. Walau bagaimanapun, tempat ini kini telah dipecahkan kepada lima buah kampung mengikut latar belakang penduduk iaitu Kg.Tonobon Baru, Kg.Bunga Raya, Kg.Kodop Baru, Kg.Melidang, Kg.Mongitom Baru.

Sekolah Kebangsaan Bunga Raya, Keningau, telah ditubuhkan pada awal tahun 1978. Pada awal penubuhannya, bangunan sekolah ini diperbuat daripada bambu dan kayu bulat. Rangka tulang bangunannya daripada kayu bulat, manakala atap dan  dinding bangunan daripada bambu (poring). Masyarakat sekitar kampung ini telah sepakat untuk membuat bangunan sekolah secara bergotong-royong memandangkan sekolah kerajaan yang terdekat ialah di SK.Liau, yang jaraknya sejauh 6.0 kilometer daripada kampung ini. Berbekalkan semangat kekitaan dan kesedaran untuk membantu anak-anak yang ingin menimba ilmu, maka dua buah bangunan yang diperbuat daripada bambu, telah siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 1978.

Senario pertambahan bilangan murid termasuk anak-anak yang telah berumur di sekitar kampung ini, telah membuatkan desakan untuk membina bangunan sekolah yang lebih lengkap dan moden. Untuk itu, Guru Sukarela Rakyat ketika itu iaitu Encik Adin bin Basinau (sekarang Wakil Ketua Anak Negeri), telah mencadangkan kepada pihak kerajaan agar dapat membina bangunan sekolah yang lebih sempurna.

Sebuah jawatankuasa daripada pihak kerajaan khususnya Jabatan Pelajaran Sabah, telah membuat tinjauan tentang perkara ini dan hasilnya menjelang pertengahan tahun 1981, dua buah bangunan separa konkrit yang mengandungi enam buah bilik darjah kesemuanya, telah siap dibina.

Dua buah bangunan baru ini telah dirasmikan pada 13hb.November, 1982, (Khamis), bersamaan 10 Syawal 1403, oleh Pengarah Pelajaran Sabah ketika itu, iaitu Dr.Isa Ramli (sekarang bergelar Datuk).

Sehingga kini ini, SKBR pernah ditadbir oleh lapan orang Guru Besar, seperti dalam jadual di bawah:-
Bil.
Nama Guru Besar
Tahun Perkhidmatan
1
EN.SAGUNDOK B. MANGGUNG
1979 – 1983
2
EN.FILEX B. MANJIN
1983 – 1984
3
EN.ABDUL RAZAK B. HJ.DINAH
1984 – 1987
4
EN.MANSING B. GAMPAK
1987 – 1988
5
EN.ROBERT B. GINDAI
1988 – 19....
6
DATIN OMAI SALAMAH BT. KAMAH
1992 – 2000
7
EN.MD.YUNUS B.KASSIM
2000 – 2001
8
EN.JUANIS GAN TINGADON
2001 - Kini



Pada ketika ini SKBR mengandungi 4 buah blok bangunan separa konkrit yang mengandungi 12 buah bilik darjah yang diubahsuai dan sebuah bangunan prasekolah konkrit yang menampung seramai 25 orang murid.

Bangunan Asrama Desa PIBG telah juga dibina di sekolah ini bagi membantu murid-murid yang tinggal jauh daripada kawasan sekolah. Bangunan asrama ini adalah separa konkrit dan sumber pembinaannya adalah ihsan daripada Y.B. Datuk Seri  Panglima Joseph Pairin Kitingan (sekarang bergelar Tan Sri),Timbalan Ketua Menteri Sabah, Merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dan Ahli Parlimen P180 Keningau.

Bangunan Asrama Desa PIBG ini mula beroperasi pada awal tahun 2008 dengan bilangan penghuni rintis seramai 50 orang iaitu 25 orang murid lelaki dan 25 orang murid perempuan.

Kini nama SKBR, kian gah dan dikenali bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang ko-kurikulum kerana berjaya melahirkan generasi pelajar yang berjaya. Ramai di antara bekas pelajar sekolah ini yang telah menjejakkan kaki ke menara gading dan kini menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam kerajaan. Pada ketika ini seorang bekas pelajar sekolah ini sedang mengikuti kursus di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan  Pendidikan, di Universiti Malaysia Sabah, yang sudah pasti akan menjadi idola dan penyuntik semangat kepada generasi murid yang menuntut di sekolah ini untuk terus menuntut ilmu.

Semoga SKBR, terus maju seiring dengan slogan keramat ”Cemerlang, Gemilang, Terbilang”, yang diilhamkan Y.A.Bhg. Tun Abdullah Hj.Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5, dan slogan semarak wawasan ”1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, yang telah diilhamkan oleh Y.A.B.Dato Seri Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6.


Sebuah Catatan: Louis M.L., GDM SKBR

4 ulasan:

  1. Tahniah Tn.Louis...cantik blog ni...teruskan dn aktifkan balik utk rujukan generasi akn dtg...

    BalasPadam
  2. Klo boleh..masukkn info terbaru tentang SKBR..

    BalasPadam
  3. Klo boleh..masukkn info terbaru tentang SKBR..

    BalasPadam
  4. Tahniah Tn.Louis...cantik blog ni...teruskan dn aktifkan balik utk rujukan generasi akn dtg...

    BalasPadam